Tuesday, April 7, 2015

SERU PEMBELAAN: LUAHAN HATI DARI SOUTUL AMAL

Seperti yang pernah diwar-warkan dalam entry yang lalu, kumpulan nasyid Shoutul Amal (kini Soutul Amal) kembali aktif setelah 'keluar dari bertapa'.

Soutul Amal dulu dan kini

Dalam diam, rupa-rupanya mereka gigih mencari idea demi idea dalam menghasilkan karya yang berkualiti dan mempunyai mesej yang jelas untuk disampaikan.

Kemunculan semula sejak tahun 2013 menjadikan nama Soutul Amal kembali diingati ramai. Kumpulan yang sinonim dengan tema lagu perjuangan, kemanusiaan dan motivasi ini kembali menyinari industri muzik dakwah apabila tampil dengan sebuah album kompilasi terbaru mereka, Seru Pembelaan.
Album Seru Pembelaan ini merupakan satu hadiah dari Soutul Amal buat para peminatnya. Album ini memuatkan 16 buah lagu termasuk sebuah lagu baru, Seru Pembelaan, dan sebuah lagu rakaman semula, Bersatulah.

SERU PEMBELAAN MESEJ BUAT UMAT ISLAM

Apabila bicara soal makna di sebalik lagu Seru Pembelaan, penulis lirik lagu tersebut,Mohd Firdaus bin Sahiddin, yang juga merupakan ahli Soutul Amal menyatakan bahawa pemilihan judul tersebut bagi meningkatkan kesedaran umat Islam untuk membantu mereka yang teraniaya dan sengsara seterusnya membela hak-hak mereka yang tertindas dan dizalimi.

Cukupkah sekadar deraian airmata 
Tangisi kematian insan teraniaya 
Lantaran dunia tandus keadilan 
Kezaliman berleluasa

Bait di atas adalah rangkap pertama Seru Pembelaan, Menurut Firdaus, permulaan rangkap lagu tersebut dimulakan dengan realiti fitrah manusia apabila melihat penderitaan orang lain.

"Sememangnya fitrah manusia yang mudah tersentuh hatinya lalu menangis apabila melihat penderitaan orang lain. Tapi persoalan yang diketengahkan pada permulaan lagu ini ialah apakah cukup dengan hanya rasa simpati untuk membantu mereka yang teraniaya ini? Kata teraniaya sengaja dipilih untuk menggambarkan bahawa mereka yang sengsara itu bukan kerana mereka yang mahukan begitu tetapi tersepit, terhimpit dan diperdayakan oleh mereka yang lebih berkuasa,"kata Firdaus.

Seru Pembelaan juga mengandungi sejuta luahan hati yang ingin disampaikan kepada masyarakat. Misalnya, mesej kekesalan terhadap sikap segelintir umat Islam yang ego turut dinyatakan.

" Lagu ini turut menceritakan kekesalan kami dengan segelintir pihak yang bukan sahaja tidak mahu membantu bahkan menyatakan “padan muka” kepada mereka ini kononnya salah mereka sendiri. Bercakap di dada media dan akhbar, seolah-olah memang sepatutnya begitu. Apatah lagi mereka yang langsung tidak menghiraukan apa yang berlaku di sekeliling dan hanya menumpukan kepada kehidupan peribadi," jelas Firdaus lagi menerusi Bicara Lirik di laman Facebook Soutul Amal.

Pada akhir lagu Seru Pembelaan, diselitkan mesej kekesalan sikap umat Islam yang tidak mempedulikan nasib saudara mereka, malah mengambil sikap bisu terhadap pihak musuh yang kejam dan zalim. Malah kekesalan terhadap sikap 'selesa' dengan label 'Islam agama keganasan' juga turut diselitkan dalam lagu ini.

SOUTUL AMAL TERBIT VIDEO KLIP SERU PEMBELAAN
Di samping mempromosikan album di laman sosial, Soutul Amal juga mengambil langkah menerbitkan klip video Seru Pembelaan sebagai salah satu usaha promosi. Jika tak silap, ini merupakan klip video sulung dari Soutul Amal sejak mereka ditubuhkan pada tahun 1998.

Sedikit komen mengenai klip video, kualiti video memang terbaik. Malah boleh dikatakan ini antara usaha terbaik Soutul Amal sejak mereka berada di alam muzik dakwah ini.

Penerbitan klip video ini meruapakan satu usaha untuk komersialkan kembali Soutul Amal ke arena hiburan Malaysia. Melalui penerbitan klip ini, peminat akan dapat melihat wajah terkini anggota asal Soutul Amal yang masih aktif selain dapat digunakan untuk disiarkan di kaca televisyen arus perdana.

Diharapkan penerbitan klip ini bukan sahaja dapat ditonton di internet tapi turut disiarkan media arus perdana.

Sebagai permulaan, para peminat boleh menonton klip tersebut di Youtube bermula 19 Mac 2015, Bagi yang ingin mendaptakan album ini, anda boleh dapatkan secara terus melalui laman rasmi Facebook Soutul Amal. Dapatkan yang original. Sebuah produk terbitan Soutul Amal Records. -STUDIOKINI
Jom kita tonton dan sharekan pada semua