Tuesday, December 13, 2016

Bicara Lirik lagu Tujuh Dinar Terakhir

Bicara Lirik:  Tujuh Dinar Terakhir

Tajuk : Tujuh Dinar Terakhir
Lirik  : Mohd Firdaus Sahiddin
Lagu  : Alfa Booty Kesuma



Bismillah.

Lagu ini secara ringkasnya mengisahkan tentang kisah sebelum kewafatan Rasulullah di mana terdapat  Tujuh Dinar yang mahu diinfaqkan Baginda sebelum bertemu Allah taala.

Semakin hampir detik kematian
Suratan taqdir takkan dilengahkan
Diri khuatir resah perasaan
Dinar terakhir masih tersimpan

Rangkap ini memberi lebih tumpuan kepada kegelisahan Rasulullah S.A.W. sebelum bertemu Allah. Baginda tidak mahu harta dunia yang tidak seberapa menjadi penghalangnya untuk menemui Kekasih Teragung-nya.

“Apakah jawapanku nanti
Pabila menghadap Tuhanku
Sedangkan tujuh Dinar ini
Masih ada di tanganku?”

Monolog ini sebenarnya merupakan ayat olahan daripada Dialog Rasulullah yang diriwayatkan melalui satu Hadis Riwayat Imam Ahmad daripada Sahl bin Sa’d yang bermaksud: “Apakah agaknya Dzon seorang Nabi Allah apabila dia menemui Allah dan ini (Dinar-dinar tersebut) masih ada padanya..”

Kisah ini terdapat dalam kitab Tobaqat Al-Kubra, Ibnu Saad, Juzuk 2,Mukasurat 239.


Akhirnya tujuh Dinar diagih
Barulah tenteram nurani
Menuju Kasih Tertinggi
Dunia bukan halangan

Rangkap ini pula merupakan olahan bebas penulis lirik mengenai ketenangan hati Rasulullah setelah mengetahui bahawa dinar-dinar tersebut telah diagihkan. Lalu baginda menantikan detik pertemuan dengan Allah,Kekasih Teragung baginda dalam penuh kerinduan, dan pastinya dunia tidak lagi menjadi penghalang.

  
Tujuh Dinar terakhir
Lambang kesederhanaan
Bukti keamanahan Rasulullah
Dia Pemimpin ulung
Dia Kekasih agung
Siapakah kita di mana berada


Rangkap ini merupakan rangkap inti bagi lagu ini di mana pengajaran tentang kesederhanaan dan sifat amanah Rasulullah ditekankan. Adakah mana-mana pemimpin atau sesiapa di dunia yang begitu amanah dan tetap sederhana hidupnya sedangkan kunci perbendaharaan dunia berada di tangannya?

Baginda boleh meminta apa sahaja daripada Allah dan pasti diperkenankan, namun di akhir hayat baginda hanya 7 Dinar yang ada di sisinya dan itu pun disedekahkan kepada mereka yang memerlukan. Allahu Akbar!

Maka persoalan “Siapakah kita? Di Mana berada?” menyentuh sudut ini… Mampukah kita mencontohi baginda Sollallahu ‘Alaihi wa Sallam?

“Ya Rasulullah,terlalu agung peribadimu,
Engkaulah qudwah, pimpinan dambaan Ummah..”

Monolog ini pula merupakan pengakuan dan pujian kepada Rasulullah kerana baginda telah menjadi teladan terbaik umat manusia sehingga akhir zaman. Terutamanya teladan baginda dalam kepemimpinan. Hanya kepimpinan yang seperti baginda mampu menyelamatkan rakyat daripada kezaliman dan penderitaan.

Baginda kekasih Allah
Di tangannya kunci khazanah (semesta)
(Namun) dunia bukan dambaannya
Cintanya ar-Rafiqul A’laa..

Rangkap terakhir ini merupakan rangkap penegasan. Penegasan bahawa matlamat hidup Rasulullah hanyalah keredaan dan kasih-sayang Allah. Hal ini dibuktikan melalui satu riwayat yang menyatakan bahawa baginda ditawarkan penangguhan ajal oleh Izrail A.S., baginda tetap memilih untuk bertemu Ar-Rafiqul A’la.


Allahumma Solli ‘ala Sayyidina Muhammad wa ‘ala Alihi wa Ashabihi Ajmain..

2 comments:

afifah ali said...

terima kasih atas perkongsian tentang lagu ini..alhamdulillah tahniah..semoga dapt diteruskan lagi usaha berdakwah ini..insyaAllah

Siti said...

Alhamdulillah... Terima kasih saudara atas olahan bait-bait lagu ini. Saya juga tercari maksudnya dan Alhamdulillah jelas sudah sekarang.. 🙂