Tuesday, December 13, 2016

Bicara Lirik lagu Tujuh Dinar Terakhir

Bicara Lirik:  Tujuh Dinar Terakhir

Tajuk : Tujuh Dinar Terakhir
Lirik  : Mohd Firdaus Sahiddin
Lagu  : Alfa Booty Kesuma



Bismillah.

Lagu ini secara ringkasnya mengisahkan tentang kisah sebelum kewafatan Rasulullah di mana terdapat  Tujuh Dinar yang mahu diinfaqkan Baginda sebelum bertemu Allah taala.

Semakin hampir detik kematian
Suratan taqdir takkan dilengahkan
Diri khuatir resah perasaan
Dinar terakhir masih tersimpan

Rangkap ini memberi lebih tumpuan kepada kegelisahan Rasulullah S.A.W. sebelum bertemu Allah. Baginda tidak mahu harta dunia yang tidak seberapa menjadi penghalangnya untuk menemui Kekasih Teragung-nya.

“Apakah jawapanku nanti
Pabila menghadap Tuhanku
Sedangkan tujuh Dinar ini
Masih ada di tanganku?”

Monolog ini sebenarnya merupakan ayat olahan daripada Dialog Rasulullah yang diriwayatkan melalui satu Hadis Riwayat Imam Ahmad daripada Sahl bin Sa’d yang bermaksud: “Apakah agaknya Dzon seorang Nabi Allah apabila dia menemui Allah dan ini (Dinar-dinar tersebut) masih ada padanya..”

Kisah ini terdapat dalam kitab Tobaqat Al-Kubra, Ibnu Saad, Juzuk 2,Mukasurat 239.


Akhirnya tujuh Dinar diagih
Barulah tenteram nurani
Menuju Kasih Tertinggi
Dunia bukan halangan

Rangkap ini pula merupakan olahan bebas penulis lirik mengenai ketenangan hati Rasulullah setelah mengetahui bahawa dinar-dinar tersebut telah diagihkan. Lalu baginda menantikan detik pertemuan dengan Allah,Kekasih Teragung baginda dalam penuh kerinduan, dan pastinya dunia tidak lagi menjadi penghalang.

  
Tujuh Dinar terakhir
Lambang kesederhanaan
Bukti keamanahan Rasulullah
Dia Pemimpin ulung
Dia Kekasih agung
Siapakah kita di mana berada


Rangkap ini merupakan rangkap inti bagi lagu ini di mana pengajaran tentang kesederhanaan dan sifat amanah Rasulullah ditekankan. Adakah mana-mana pemimpin atau sesiapa di dunia yang begitu amanah dan tetap sederhana hidupnya sedangkan kunci perbendaharaan dunia berada di tangannya?

Baginda boleh meminta apa sahaja daripada Allah dan pasti diperkenankan, namun di akhir hayat baginda hanya 7 Dinar yang ada di sisinya dan itu pun disedekahkan kepada mereka yang memerlukan. Allahu Akbar!

Maka persoalan “Siapakah kita? Di Mana berada?” menyentuh sudut ini… Mampukah kita mencontohi baginda Sollallahu ‘Alaihi wa Sallam?

“Ya Rasulullah,terlalu agung peribadimu,
Engkaulah qudwah, pimpinan dambaan Ummah..”

Monolog ini pula merupakan pengakuan dan pujian kepada Rasulullah kerana baginda telah menjadi teladan terbaik umat manusia sehingga akhir zaman. Terutamanya teladan baginda dalam kepemimpinan. Hanya kepimpinan yang seperti baginda mampu menyelamatkan rakyat daripada kezaliman dan penderitaan.

Baginda kekasih Allah
Di tangannya kunci khazanah (semesta)
(Namun) dunia bukan dambaannya
Cintanya ar-Rafiqul A’laa..

Rangkap terakhir ini merupakan rangkap penegasan. Penegasan bahawa matlamat hidup Rasulullah hanyalah keredaan dan kasih-sayang Allah. Hal ini dibuktikan melalui satu riwayat yang menyatakan bahawa baginda ditawarkan penangguhan ajal oleh Izrail A.S., baginda tetap memilih untuk bertemu Ar-Rafiqul A’la.


Allahumma Solli ‘ala Sayyidina Muhammad wa ‘ala Alihi wa Ashabihi Ajmain..
Bicara lirik: Seru Pembelaan

Sinopsis:
Merupakan luahan kesedihan apabila mengenangkan nasib yang menimpa umat Islam di serata dunia. Mengetengahkan isu keprihatinan yang berkala dan tidak bersungguh-sungguh untuk membela mangsa kezaliman. Juga menyiratkan kesan dan akibat daripada sikap yang diambil itu serta mengemukakan punca penganiayaan. Ditutup dengan seruan supaya membantu dengan apa yang terdaya.
SERU PEMBELAAN

Tajuk: Kenapa pilih seru pembelaan?
Sebab memang bertujuan untuk menyeru manusia membantu mereka yang teraniaya dan sengsara seterusnya membela hak-hak mereka

Cukupkah sekadar deraian airmata
Tangisi kematian insan teraniaya
Lantaran dunia tandus keadilan
Kezaliman berleluasa

Rangkap di atas menceritakan tentang fitrah manusia yang mudah tersentuh hatinya lalu menangis apabila melihat penderitaan orang lain. Tapi persoalan yang diketengahkan oleh lagu ini ialah apakah cukup dengan hanya rasa simpati untuk membantu mereka yang teraniaya ini? Kata teraniaya sengaja dipilih untuk menggambarkan bahawa mereka yang sengsara itu bukan kerana mereka yang mahukan begitu tetapi tersepit, terhimpit dan diperdayakan oleh mereka yang lebih berkuasa.

Berjuang seorang menongkah sengsara
Terhina merana tiada pembela
Sedih perit ditanggung sendiri
Jerit keluh di dalam hati


Rangkap kedua ini pula menjelaskan suasana penderitaan zahir dan batin yang dihadapi oleh insan-insan yang terbabit. Tidak bermakna di sini bahawa mereka langsung tidak dibantu dan dibiarkan sendiri, tetapi bantuan yang dihulur masih belum mencukupi. Sehingga mereka pasrah dan tabah menghadapi situasi itu yang digambarkan melalui ayat: “jerit keluh di dalam hati”… sungguh, kesabaran mereka adalah luar biasa.

Sedang kita masih petah megah berkata
Itu salah mereka bukan urusan kita
Tidak pun terlintas ingin turut merawat
Parah hati saudara yang daif


Rangkap ini pula menceritakan kekesalan kami dengan segelintir pihak yang bukan sahaja tidak mahu membantu bahkan menyatakan “padan muka” kepada mereka ini kononnya salah mereka sendiri. Bercakap di dada media dan akhbar, seolah-olah memang sepatutnya begitu. Apatah lagi mereka yang langsung tidak menghiraukan apa yang berlaku di sekeliling dan hanya menumpukan kepada kehidupan peribadi… lantaklah apa yang nak jadi..

Walhal si durjana terus berleluasa
Memamah meratah menjarah maruah
Kononnya Islam pencetus intiqam (dendam)
Berlarutan tiada kesudahan


Rangkap ni pula mengisahkan ketika kita tidak mempedulikan nasib mereka, pihak musuh yang kejam dan zalim terus berleluasa membantai insan-insan yang tidak berdaya itu. Antara alasan terbesarnya ialah insan-insan lemah itu beragama Islam. Kononnya Islam adalah agama yang ganas dan sukakan kekerasan. Maka ia masih berterusan bagaikan tiada penamatnya..

Ayuh dengan kesedaran kita mara
Pulihkanlah maruah dan sucikannya
Nyawa, tenaga, harta, doa senjata utama
Pengorbananmu tinggi nilainya
Tidak terbanding isi dunia

Rangkap ini adalah puncak kepada segala seruan dan luahan hati kami. Ayuh kita bersatu dan menggembleng tenaga dengan apa jua yang kita miliki demi memelihara dan menyucikan maruah umat Islam yang ternoda. Namun prasyarat kebangkitan itu adalah dengan kesedaran, bukan semangat dan simpati semata-mata. Kami mulakan dengan menyenaraikan contoh pengorabanan yang boleh dilakukan bermula dengan yang paling susah iaitu mewaqafkan diri untuk Islam. Seterusnya, tenaga, harta dan paling tidak pun dengan doa. Itulah senjata utama kita..
Insya Allah pengorbanan kita itu tetap akan ada nilainya di sisi Allah. Sekecil-keci ganjaran itu tidaklah sama apabila dibandingkan dengan seluruh dunia dan seisinya, kerana ia adalah lebih besar…

Kupasan oleh: Mohd Firdaus bin Sahiddin